Selamat hari ibu, emak. Terima kasih kerana lahirkan saya, terima kasih kerana didik saya, terima kasih kerana sabar dengan kerenah saya, terima kasih masakkan masakan kegemaran saya sehingga saya "besar" begini, terima kasih kerana selalu marah saya, jika tidak, tidaklah saya menjadi "orang" seperti sekarang, terima kasih basuhkan baju saya, terima kasih kerana kejutkan saya bangun pagi, terima kasih kerana jahitkan seluar saya yang selalu koyak, terima kasih kerana sapukan ubat kunyit pada kaki saya waktu saya jatuh basikal, terima kasih kerana potongkan rambut saya, walaupun kadang-kadang mak suka potong ikut suka mak (haha) dan terima kasih banyak kerana tidak biarkan saya lupa kepada Sang Pencipta.
Maafkan saya kerana selalu melukakan hati mak, maafkan saya kerana tidak menjadi seorang anak yang emak impikan, maafkan kata-kata saya yang bodoh tanpa fikir perasaan mak, maafkan saya kerana jarang menolong mak, maafkan saya kerana tidak menjadi seperti anak-anak orang lain yang mak banggakan dan maafkan segala dosa yang pernah saya lakukan sejak saya lahir ke dunia sehingga saya menjadi saya sekarang.
Mak, saya tahu saya tidak rapat dengan mak seperti anak-anak orang lain. Kita tidak sependapat. Kita dingin. Kita tidak "sebulu". Pemikiran kita lain, mak dengan pendapat mak, saya dengan pendirian saya. Tapi, saya sayang mak sama seperti anak-anak orang lain yang sayangkan ibu mereka. Tidak kurang, malah lebih. Tapi, kenapa kita tak boleh jadi macam ibu dan anak seperti orang lain?
Maafkan saya kerana tidak dapat tunjukkan perasaan sayang kepada mak. Saya malu. Mungkin dengan cara memenuhi kehendak mak, mak dapat rasa kasih sayang saya pada mak. Jangan risau, saya akan berusaha ubah kehidupan kita. Saya akan jaga mak. Saya sentiasa dengan mak.
SELAMAT HARI IBU, EMAK.....